Nafuzi enggan fikir provokasi penyokong Indonesia

Nafuzi ketika ditemu bual oleh media berkenaan persiapan menjelang perlawanan Piala Mandiri ASEAN B-23 di Jakarta pada Rabu. Foto Bernama
Nafuzi ketika ditemu bual oleh media berkenaan persiapan menjelang perlawanan Piala Mandiri ASEAN B-23 di Jakarta pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain menegaskan beliau tidak mahu memikirkan mengenai provokasi daripada penyokong tuan rumah menjelang aksi Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Jakarta bulan ini.

Sebaliknya, bekas pengendali Terengganu FC itu lebih memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan pasukan dari segi fizikal, mental dan keyakinan pemain menjelang kejohanan tersebut.

“Bagi saya, kita perlu fokus kepada pasukan kita sendiri, terutama dari segi persediaan fizikal, mental dan keyakinan pemain. Itu yang lebih penting,” katanya.

Sebelum ini, penyokong Indonesia terutama di media sosial terus mempertikaikan mengenai tindakan skuad negara terutama pasukan senior sehingga mencipta khabar bahawa Malaysia akan dihukum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana merekrut ramai pemain warisan yang disifatkan mereka sebagai tidak sah.

Ia sekali gus dikhuatiri akan sedikit sebanyak mengganggu tumpuan skuad muda negara yang turut diundi satu kumpulan dengan pasukan tuan rumah.

Nafuzi turut menyifatkan bermain di laman lawan yang akan dipenuhi ribuan penyokong dari sudut positif dan menganggap ia sebagai satu pengalaman berharga buat anak-anak buahnya.

“Bermain di hadapan ribuan penyokong itu sesuatu yang menarik. Sebagai pemain, suasana sebegitu sebenarnya menambahkan lagi semangat dan keghairahan untuk bermain bola sepak yang sebenar.

“Saya tidak rasa ia akan mengganggu persiapan kita. Sebaliknya ia memberikan motivasi tambahan untuk pemain,” katanya.

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai cabaran menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti pertemuan dengan Brunei pada 18 Julai, sebelum bertemu tuan rumah Indonesia pada 21 Julai.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!