Hazama enggan terburu-buru

Hazama
Hazama
A
A
A

JIKA kebanyakan penyanyi berlumba-lumba untuk mengadakan konsert kebelakangan ini, lain pula pendirian dengan juara Akademi Fantasia 9 (AF9), Hazama Azmi.

Walaupun memiliki vokal lantang dan karakter pentas yang bertenaga, penyanyi berusia 40 tahun itu tetap memilih untuk tidak terburu-buru dalam merancang konsert solo.

Bagi Hazama, kesempurnaan dan ‘jiwa’ dalam persembahan adalah sesuatu yang perlu dikumpul dengan masa dan pengalaman, bukan dikejar semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran.

“Buat konsert? Bukan sekarang,” ujar Hazama tanpa berselindung.

Menurut Hazama, dia berpegang pada prinsip untuk hanya naik pentas konsert apabila sudah cukup ‘masak’, dari segi repertoir lagu, stamina dan jalan cerita persembahan itu sendiri.

Malah, penyanyi yang meletus menerusi lagu Pokok itu menyifatkan fasa sekarang sebagai tempoh mengumpul lagu-lagu yang benar-benar miliknya, agar apabila konsert itu terjadi, ia bukan sekadar nyanyian, tetapi penceritaan hidup yang solid.

“Saya mahu bila buat konsert, tidak perlu nyanyi lagu orang. Saya mahu menggunakan lagu saya sendiri. Biar ada cukup memori yang boleh dikaitkan dengan kehidupan pendengar," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Aku Bukan Narsisis di Bukit Bintang baru-baru ini.

Hazama pada majlis pelancaran singlenya dan Amira Othman baru-baru ini.
Hazama pada majlis pelancaran singlenya dan Amira Othman baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hazama, konsert itu nanti mahu dijadikan sebagai satu perjalanan yang lengkap ada pahit manis, bukan sekadar rangkaian lagu yang mendatar emosinya.

“Kalau ikutkan, sekarang dah ada 30 buah lagu, tetapi repertoir tidak solid. Perlukan lagu rancak juga, tidak mahulah lagu sedih semua. Bila pergi konsert kena ada pahit manis.

“Kenapa konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M Nasir orang puas? Sebab repertoir sedap. Bukan sekadar suara sedap.

"Lagu itu yang pacu rasa. Kalau lagu pertama sampai lagu kelima semua perlahan orang yang datang jadi sedih," katanya.

Hazama juga berpendapat, artis seperti Misha Omar, Spider dan Dayang Nurfaizah lebih layak mengadakan konsert dalam waktu terdekat kerana katalog lagu mereka lebih kuat dan sudah terpahat dalam memori peminat.

"Tam Spider tua 10 tahun dari saya. Jadi mungkin 10 tahun lagi merupakan tempoh masa yang sesuai untuk saya buat konsert.

"Bagi saya tidak perlu risaukan stamina atau keupayaan vokal kerana peminat datang konsert bukan untuk mendengar lagu, tetapi melihat persembahan, tenaga, teknikal.

"Peminat mahukan nostalgia. Contoh konsert KRU baru-baru ini, kenapa dapat sambutan? Sebab nostalgia, bila kita dengar lagu KRU, automatik kita teringat nostalgia hidup dengan lagu itu.

“Macam sekarang, lagu saya belum cukup jadi memori orang," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Hazama baru sahaja tampil dengan single baharu, Aku Bukan Narsisis yang juga merupakan lagu tema drama Dia Bukan Syurga.

Menurutnya, karya tersebut cukup berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dimuatkan dalam albumnya sebelum ini.

“Dalam album saya, tidak ada lagu macam ini tetapi rakyat Malaysia sukakan lagu-lagu macam ini.

"Jadi saya lihat ini sebagai sebahagian proses mengumpul lagu dan alhamdulillah ramai yang suka," ujarnya menutup perbualan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!