Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0: Polis kenal pasti individu bakar suar

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti individu yang membakar suar dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 di ibu negara pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini, polis belum merekodkan keterangan individu yang membakar suar dalam himpunan terbabit.
“Tindakan membakar suar boleh membahayakan orang ramai khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Mohamed Usuf berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan himpunan terbabit sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kita telah merekodkan keterangan 19 individu membabitkan saksi polis, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan wartawan.
“Kita akan merekodkan keterangan beberapa individu lagi bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, polis juga telah menerima laporan daripada pihak penganjur himpunan.
“Kita akan menjalankan siasatan secara adil dan polis bertindak secara profesional,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan seorang anggota polis cedera selepas terbabit dalam pergelutan ketika cuba mengawal situasi dalam himpunan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku ketika tindakan pencegahan diambil ke atas peserta perhimpunan kira-kira jam 4.30 petang.
Katanya, insiden itu berpunca daripada tindakan seorang peserta membakar suar hingga menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan serta orang awam berdekatan.
Pihak polis telah mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap daripada suar itu tidak merebak.
Semasa tindakan pencegahan diambil, berlaku sedikit pergelutan antara peserta perhimpunan dan petugas Op Aman sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang anggota polis.
Pergelutan itu berjaya dileraikan oleh pihak polis. Terdapat tiga laporan polis telah dibuat. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
