Musim suram City, Guardiola

Pep Guardiola. Foto AFP
Pep Guardiola. Foto AFP
A
A
A

PENYINGKIRAN Manchester City daripada saingan Piala Dunia Kelab di tangan kelab Arab Saudi, Al-Hilal pada Selasa menjadi penutup tirai kepada musim yang mengecewakan buat skuad kendalian Pep Guardiola, sekali gus membuktikan bahawa pasukan gergasi Eropah kini tidak lagi mendominasi sepenuhnya kejohanan tersebut.

City berkunjung ke Amerika Syarikat selepas menamatkan kempen yang suram di pentas domestik dan Eropah.

Mereka dilihat garang pada awal saingan Piala Dunia Kelab apabila meledak 13 gol dan menjadi satu-satunya pasukan yang mencatat kemenangan dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan.

Tiga pemain baharu iaitu Tijjani Reijnders, Rayan Ait-Nouri dan Rayan Cherki memberikan harapan dalam kempen ini, namun perjalanan City terhenti secara mengejut selepas tewas 3-4 dalam masa tambahan kepada Al-Hilal di Orlando.

“Tiada siapa yang mahu kalah. Malangnya kami sudah terbiasa tidak mempunyai cuti kerana jadual yang padat.

“Tetapi apabila kami menyertai mana-mana kejohanan, kami akan menghadapinya dengan penuh kesungguhan. Kami sememangnya mahu menjulang trofi Piala Dunia Kelab ini,” ujar Bernardo Silva kepada media UK selepas City menamatkan aksi ke-61 sejak Ogos lalu.

Guardiola sebelum ini turut mengulas kritikan bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, yang menyifatkan kejohanan itu sebagai idea paling teruk pernah dilaksanakan dalam bola sepak.

“Boleh jadi pada bulan November, Disember atau Januari, ia akan menjadi mimpi buruk. Kami keletihan dan Piala Dunia ini benar-benar memberi kesan kepada kami,” kata Guardiola menjelang aksi menentang Al-Hilal.

Kini City pulang ke England hampir dua minggu lebih awal sebelum perlawanan akhir, dan tempoh rehat ini dilihat cukup berharga buat mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kami sebenarnya mahu teruskan perjuangan. Anda hanya berpeluang bermain dalam kejohanan ini setiap empat tahun. Kami rasa pasukan kami berada dalam prestasi baik, tetapi kini masa untuk pulang dan berehat, termasuk dari segi mental, bagi menghadapi musim baharu," katanya.

City dijadualkan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers pada 16 Ogos, memberi mereka lebih enam minggu untuk berehat dengan kehadiran semula pemain tengah Sepanyol, Rodri.

Rodri baru sahaja kembali beraksi selepas diketepikan hampir sepanjang musim lalu akibat kecederaan. Dia dimasukkan sebagai pemain gantian menentang Al-Hilal tetapi kemudiannya dikeluarkan pada masa tambahan.

“Kami perlu lihat keadaan Rodri. Dia nampak baik, tetapi kemudian mengadu tentang kecederaannya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!