Lelaki curi 8 kereta balik kampung elak bayar tambang kapal terbang

BEIJING – Seorang lelaki di China mencetuskan sensasi di media sosial selepas ditahan kerana mencuri lapan buah kereta sepanjang perjalanan pulang ke kampung halamannya, semata-mata mahu mengelak daripada membayar tambang kapal terbang.
Suspek yang dikenali dengan nama keluarga Chen berasal dari wilayah Liaoning dan ketika itu sedang melancong bersendirian di Changsha, wilayah Hunan.
Pada 31 Mei lalu, dia membeli tiket penerbangan ke kampung dengan harga 1,500 yuan (RM980), namun membatalkannya kerana menganggapnya terlalu mahal.
Chen yang merupakan pencuri kenderaan berulang, kembali kepada tabiat lamanya dengan menyasarkan bilik pameran dan tempat letak kereta yang tidak berpenghuni.
Menurut laporan media tempatan New Yellow River, dia memasuki bilik pameran pada waktu malam, mencuri kunci dari kabinet dan melarikan kereta yang sedang menunggu untuk diservis.
Dia turut menceroboh kawasan parkir sunyi dan memilih kereta model lama sebelum menghidupkannya secara paksa dengan mengusik sistem pencucuhan.
Bermula awal Jun, Chen memulakan perjalanan pulang ke utara China merentasi tujuh bandar, menggunakan lapan kereta yang dicuri sepanjang laluan.
Setiap kali kereta kehabisan minyak, dia akan meninggalkannya dan mencuri kereta lain untuk meneruskan perjalanan.
Chen juga mengambil barang berharga dari dalam kereta yang dicuri bagi membayar makanan dan tol jalan raya.
Perjalanannya mengambil masa lebih 14 jam dan dianggarkan keseluruhan kereta yang dicuri bernilai hampir satu juta yuan (RM655,000).
Pada 2 Jun, pekerja sebuah bilik pameran di Wuhan menyedari sebuah kereta bernilai lebih 150,000 yuan dan kuncinya hilang sebelum menghubungi polis.
Polis berjaya mengesan kenderaan itu sedang menuju ke utara dan pada keesokan harinya di wilayah Hebei, Chen dikesan sedang cuba mencuri sebuah lagi kereta.
Dia sempat melarikan diri selepas mencederakan pemilik kereta terbabit, namun ditahan dua hari kemudian ketika sedang tidur di dalam sebuah kenderaan yang dicuri di sebuah parkir.
Kesemua lapan kereta telah berjaya ditemui semula dan Chen kini ditahan polis sementara siasatan dijalankan.
Di China, kes kecurian kenderaan yang serius boleh membawa hukuman lebih 10 tahun penjara serta denda berat.
Kisah itu meraih lebih 20 juta tontonan di media sosial, dengan ramai netizen menganggap tindakan Chen sebagai tidak masuk akal.
Kisah luar biasa berkaitan perjalanan seperti ini sering tular di China.
Beberapa tahun lalu, seorang graduan dari Shanghai dilaporkan telah mengembara ke lebih 120 destinasi menggunakan wang tunai dan kad kredit yang dicuri. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
