Unifi Business tawar peluang menangi Program Leap di Oxford

KOTA BHARU - Usahawan di seluruh negara berpeluang memenangi hadiah utama berupa Program LEAP di University of Oxford, United Kingdom bernilai lebih RM20,000 melalui peraduan #UnifiBusinessTakeMeToOxford sempena Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2025.
Ketua Pegawai Komersial Strategi Pengguna dan Perniagaan Unifi, Shanti Jusnita Johari berkata, hari PMKS anjuran Unifi Business itu bertujuan membantu usahawan mempromosikan perniagaan mereka melalui media sosial.
Menurut beliau, dua pemenang bertuah akan dipilih melalui peraduan itu.
"Unifi Business turut menawarkan pelbagai hadiah termasuk solusi bundle GoBookit serta kelas eksklusif bersama tokoh usahawan ternama dan pempengaruh Pinn Yang untuk memperkukuhkan perniagaan mereka," katanya sempena sambutan Hari PMKS di Pasar Besar Siti Khadijah pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Jelas beliau, peraduan itu terbuka kepada semua usahawan di seluruh negara termasuk pelanggan Unifi Business dan orang ramai.
"Pelanggan yang melanggan produk Unifi Business akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang," katanya.
Beliau memberitahu, sempena sambutan Hari PMKS tahun ini, Unifi Business turut menjelajah kesemua tiga negeri Pantai Timur membabitkan tiga lokasi pilihan.
"Kita memilih menganjurkan program ini di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu pada 23 Jun manakala 12 Julai di Bazar Serambi Teruntum, Kuantan dan 16 Julai di Pasar Kedai Payang 1, Kuala Terengganu.
Shanti Jusnita berkata, kempen berkenaan bermula 23 Jun dan berakhir pada 31 Julai depan.

Menurut beliau lagi, usahawan yang berminat menyertai peraduan hanya perlu mempromosikan perniagaan mereka di media sosial serta meletakkan #SapotLokal #BelanjaDiSME dan #UnifiBusinessTakeMeToOxford.
Selain itu, beliau turut memberitahu, Unifi Business melancarkan pakej Go Bookit secara pascabayar bersama pelan UNI5G Business pada 30 Mei lepas.
"Solusi berkenaan direka khusus untuk membantu usahawan menguruskan pelanggan dan janji temu dengan lebih efisien," katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan pakej berkenaan sesuai bagi usahawan solo yang menawarkan perkhidmatan berasaskan janji temu seperti pelukis henna, jurumekap, tukang paip dan juru elektrik.
Lebih menarik, pelanggan juga boleh menggunakan solusi itu secara percuma selama tujuh hari.

Pakej berkenaan turut disertakan dengan telefon pintar 5G secara percuma sesuai untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan secara digital.
Untuk keterangan lanjut sila layari biz.unifi.com.my/gobookit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
