Skuad muda impi empat terbaik Piala Asia B-18 di China

Nor Saiful Zaini. Foto Agensi
Nor Saiful Zaini. Foto Agensi
A
A
A

KETUA jurulatih pasukan hoki remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyasarkan skuad muda Bawah 18 tahun (B-18) melangkah ke separuh akhir Piala Asia Lelaki B-18 di Dazhou, China bermula 3 hingga 13 Julai ini.

Beliau berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan kemampuan pemain dan barisan jurulatih yang dipilih untuk memberi saingan sengit kepada negara lain.

Tambahnya, biarpun kejohanan tersebut buat kali pertama diadakan, namun berdasarkan pasukan yang menyertai, bekas pemain negara itu melihat peluang Malaysia agak baik untuk mara lebih jauh.

“Berdasarkan kepada senarai pemain, kita perlu letakkan sasaran mengikut kemampuan pasukan. Kita sasar untuk layak ke final, tetapi sasaran pertama kita perlu ke separuh akhir dahulu, kemudian ke perlawanan akhir.

“Atas kertas dan persiapan pasukan-pasukan yang bertanding, saya rasa kita boleh sampai ke separuh akhir. Kalau bermain dengan baik, kita berpeluang ke final,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Isnin.

Skuad bimbingan Mohd Sufian Mohamad diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Taiwan dan Uzbekistan, manakala Kumpulan A pula terdiri daripada Bangladesh, China, Hong Kong, Pakistan dan India.

Nor Saiful Zaini melihat India sebagai antara pencabar utama dalam kejohanan itu berbanding pasukan lain berdasarkan program pembangunan yang dijalankan di negara mereka.

Beliau juga menjelaskan bahawa kejohanan tersebut menjadi pentas terbaik buat pemain muda untuk meraih pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

“Corak permainan antara pasukan sudah pasti berbeza dan dari situ mereka dapat belajar. Ini adalah medan untuk mendedahkan mereka dengan suasana di luar berbanding ketika beraksi di laman sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Mereka dibentuk untuk diserap ke dalam skuad remaja sebagai persiapan ke Piala Dunia akan datang dan seterusnya berpotensi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain berpengalaman dalam skuad senior,” katanya.

Skuad tersebut terdiri daripada pemain yang berusia antara 16 hingga 18 tahun yang dikumpulkan dari tujuh buah sekolah sukan dan sekolah menengah kebangsaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!