‘Tipulah mahu kekal bujang, memang ada niat, perancangan’ - Syed Saddiq

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga dan menamatkan zaman bujangnya.
Menurut Syed Saddiq, proses berkenaan melibatkan pelbagai pihak dan beliau memohon agar diberikan ruang bagi menjaga privasi berkaitan hal tersebut.
“Tipulah kalau saya cakap mahu kekal bujang selamanya. Memang ada niat dan perancangan ke arah (perkahwinan) itu.
“Namun, dalam proses membina rumah tangga sendiri, akan melibatkan pasangan, keluarga dan privasi yang perlu dihormati.
“Biarlah kehidupan saya kekal peribadi sehingga tiba masanya untuk diumumkan kepada semua,” katanya dalam program Interviu: Apa Rencana Syed Saddiq Selepas Ini? pada Isnin.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk membincangkan topik berkaitan isu politik semasa, namun memilih untuk berdiam diri jika ditanya mengenai hal-hal peribadi.

“Perkara berkaitan politik, saya terbuka. Tetapi bagi hal yang bukan sahaja melibatkan saya, malah orang lain termasuk keluarga, lebih baik proses itu dihormati,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan hubungannya bersama penyanyi, Bella Astillah, Syed Saddiq berharap agar perkara itu turut diberikan ruang privasi memandangkan ia melibatkan ramai pihak termasuk keluarga masing-masing.
“Dalam hal ini, kita semua tahu Bella merupakan seorang wanita dan ibu yang luar biasa dalam mendidik kedua-dua anaknya, dan pada masa sama mampu mengimbangi kerjayanya.
“Kesibukannya mengalahkan saya, tetapi dalam urusan peribadi antara kami, saya lebih rela ia kekal peribadi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

