Dua lelaki ditahan kes pecah masuk kilang, curi MPV

Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki pecah masuk kilang dan mencuri sebuah MPV di Seri Alam. Gambar hiasan
Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki pecah masuk kilang dan mencuri sebuah MPV di Seri Alam. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk kilang dan mencuri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada Sabtu sekitar jam 2 pagi selepas pihak pengurusan kilang menyedari kehilangan kenderaan tersebut.

Menurutnya, hasil maklumat dan tindakan pantas polis telah mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kedua-dua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 28 tahun.

“Selain menahan suspek, polis turut merampas sebuah MPV, empat unit monitor komputer, CPU komputer, papan kekunci komputer, satu penapis air, sebuah pendingin hawa serta tiga unit alat kawalan jauh,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Sohaimi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala salah seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

"Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari bermula Ahad hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!