Kerajaan lancar Kempen Beli Barangan Malaysia, perkasa ekonomi domestik

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan ‘Jom Beli Lokal’ bagi menggalakkan sokongan secara berterusan terhadap produk tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen tersebut merupakan langkah strategik untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik, sekali gus membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam peluasan jaringan pasaran.
Katanya, pada masa sama, inisiatif tersebut memberi ruang untuk menonjolkan kualiti produk tempatan yang boleh menjadi pilihan utama dan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.
“Inisiatif menggerakkan agenda mempromosi pembelian barangan tempatan akan dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara.
“Selain pelbagai kementerian dan agensi melaksanakan strategi serta pendekatan masing-masing, usaha ini juga akan disokong sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Di peringkat KPDN, inisiatif akan digerakkan melalui rakan strategik dalam industri peruncitan termasuk melalui platform e-dagang. Selain meningkatkan nilai jualan produk tempatan di pasaran domestik, strategi juga akan dilaksanakan bagi memperkasa penembusan produk tempatan ke peringkat antarabangsa melalui program Local to Global Retail,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, kempen itu akan memanfaatkan trend pertumbuhan industri perdagangan pengedaran yang semakin berkembang.
“Setakat Disember 2024, sektor perdagangan pengedaran telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion, peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun 2023 (RM1.674 trilion).
“Bagi tahun 2023 dan 2024, tiga platform pengendali e-dagang iaitu TikTok, Shopee dan Lazada telah menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM yang melibatkan hampir 700,000 Stock Keeping Unit (SKU),” katanya.
Terdahulu, KPDN membuka tirai Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 dengan penganjuran peringkat Zon Selatan tahun ini dengan Negeri Johor dipilih sebagai lokasi bagi Zon Selatan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun 2025 bertempat di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.
Armizan berkata, mengambil kira sambutan menggalakkan dengan jumlah pengunjung seramai 761,659 orang pada tahun 2024, siri penganjuran Jelajah KPDN bagi tahun 2025 akan diteruskan melibatkan enam zon iaitu Zon Selatan (Johor), Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
