ASEAN sambut baik gencatan senjata Iran-Israel, gesa elak konflik berulang

PUTRAJAYA – ASEAN menyambut baik pelaksanaan gencatan senjata antara Iran dan Israel pada 24 Jun lalu susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Khamis, semua pihak digesa agar menghormati gencatan senjata yang dimeterai serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan konflik baharu.
“Kami menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan sejak 13 Jun 2025 dan mengalu-alukan pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dan Iran pada 24 Jun.
“ASEAN menyeru semua pihak supaya mematuhi gencatan senjata dan mengelakkan daripada tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa yang sama, ASEAN menegaskan bahawa sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Setiap negara harus menghormati kedaulatan serta integriti wilayah negara lain dan mengutamakan penyelesaian secara damai bagi sebarang perbezaan,” jelas kenyataan tersebut.
ASEAN turut mengulangi desakan agar semua pihak mematuhi kewajipan untuk melindungi orang awam serta infrastruktur awam dalam konflik bersenjata sebagaimana ditetapkan dalam undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.
Dalam perkembangan sama, ASEAN menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan pihak antarabangsa termasuk PBB dalam meredakan ketegangan serta menggalakkan dialog membina antara pihak yang terlibat.
“Kami menyokong segala usaha yang sedang dilakukan, termasuk yang dipimpin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menggalakkan keterlibatan semula secara konstruktif antara semua pihak,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, ASEAN turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan warganegara masing-masing di luar negara sekiranya berlaku krisis.
Ia termasuk penyediaan bantuan kecemasan berdasarkan Deklarasi ASEAN mengenai Garis Panduan Bantuan Konsular oleh Misi ASEAN di Negara Ketiga serta Garis Panduan Pemberian Bantuan Kecemasan oleh Misi ASEAN kepada Warganegara Dalam Situasi Krisis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

