'UMNO tidak mahu jadi seperti PKR'

Azalina ketika ditemui di lobi PWTC selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Azalina ketika ditemui di lobi PWTC selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO tidak akan berhenti menjadi mata dan telinga bagi menegur kerajaan meskipun terdapat pemimpin parti itu dalam barisan Kabinet.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada masa sama pihaknya akan memastikan pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri supaya terus membawa suara parti.

"Tidak kira di kementerian mana. Kita nak mereka mesti meneruskan suara parti dan mereka tidak boleh takut.

"Sebab kita tidak mahu jadi macam kes yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat, mereka ada beberapa menteri dan kemudian ada gerakan yang menidakkan parti mereka.

"Kita tak nak UMNO macam itu. Kita tak nak UMNO ini bila dah ke depan, dia menggerakkan tuntutan individu lebih daripada parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu sebelum ini tidak berpuas hati dengan lantikan jawatan Kabinet yang dilihat didominasi satu parti.

Berhubung perkara tersebut, Azalina berkata, beliau mendengar secara teliti penjelasan diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gabungan parti dalam Perikatan Nasional adalah 'marriage of convenience' atau perkahwinan untuk kesenangan semata-mata yang mempunyai banyak kelebihan dan kekurangan.

"Amanat Presiden dalam mesyuarat tak halang ahli jadi telinga dan mata. Saya sebagai bekas menteri undang-undang dan masih Ahli Parlimen Pengerang akan sentiasa menegur kerajaan.

"Saya tak mahu mulut saya dikunci kerana kita sebagai kerajaan.

"Saya berterima kasih sebagai kerajaan tetapi kalau adanya menteri-menteri dan sesiapa sahaja menyatakan sesuatu yang tidak adil dan logik kepada perjuangan parti, saya akan jadi orang pertama bersuara," katanya.

Dalam pada itu Azalina berkata, pembubaran Parlimen sukar dilakukan kerana perlu memberi peluang kepada Perikatan Nasional memerintah dan gabungan itu adalah sesuatu yang baharu bagi UMNO.