UMNO desak enam langkah segera kerajaan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat semalam memutuskan supaya Kabinet baharu di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil enam langkah segera.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan media memaklumkan, langkah segera tersebut melibatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan salah laku dan penyelewengan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

Menurutnya, kerajaan perlu menilai segera semua keputusan penjualan secara lambak aset-aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuk Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Demi memenuhi prinsip rule of law yang sebenar, UMNO mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula.

“Ini termasuk kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion,” katanya.

Ahmad Zahid turut mendesak agar siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disegerakan.

“Membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

“Membatalkan agenda kerajaan PH untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas dan tanggungjawab pihak polis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ahmad Zahid juga menegaskan, UMNO akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai ejen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.

“UMNO juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan Pas dan juga memperkukuhkan BN bersama rakan komponen MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah),” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Teringgi UMNO, Datuk Seri Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jawatan dalam Kabinet diterima pemimpin UMNO tidak boleh membantu rakyat, malah menjejaskan kedudukan parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang ditemui pemberita di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menghadiri Mesyuarat MT UMNO di sini hari ini menyuarakan pandangan mengenai agihan jawatan menteri Kabinet yang diberikan kepada UMNO.

"Pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dia orang pegang. Luar bandar (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) dia orang pegang.

"Macam pertahanan (Kementerian Pertahanan), jaga keselamatan sajalah (dipegang UMNO). Apa yang boleh kita bantu rakyat di kampung, petani, nelayan dan sebagainya?" katanya.

Ketika ditanya reaksi Ahmad Zahid mengenai perkara itu, Tajuddin berkata, presiden parti dan ahli MT lain hanya berdiam.

Bagaimanapun Tajuddin merasakan Ahmad Zahid berkemungkinan mengambil maklum apa yang beliau perkatakan.