Akses internet di Iran kembali ke tahap sebelum perang - Menteri

TEHERAN - Akses Internet di Iran kembali ke tahap sebelum perang, kata Menteri Komunikasi negara itu pada Rabu, susulan sekatan sementara yang dikenakan semasa konflik baru-baru ini dengan Israel, lapor Xinhua.
Sattar Hashemi, Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Iran, mengumumkan perkara itu menerusi satu hantaran di platform sosial X, sehari selepas gencatan senjata diumumkan antara Iran dan Israel, menamatkan 12 hari pertempuran.
Iran mengenakan sekatan terhadap akses Internet sejurus selepas Israel melancarkan siri serangan udara ke seluruh negara pada 13 Jun, menyasarkan kemudahan nuklear dan tapak ketenteraan. Serangan itu mengorbankan beberapa komander kanan, saintis nuklear dan ratusan orang awam, menurut pegawai Iran.
Susulan serangan itu, penggodam pro-Israel turut mendakwa mereka melancarkan serangan siber ke atas sistem perbankan Iran, menyebabkan gangguan perkhidmatan di beberapa bank. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
