Iran tarik balik serangan, Netanyahu isytihar kemenangan

Iran-Israel hentikan serangan selepas capai persetujuan gencatan senjata

Pezeshkian mengumumkan penamatan konflik bersenjata selama 12 hari. - AFP
Pezeshkian mengumumkan penamatan konflik bersenjata selama 12 hari. - AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS — Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa mengumumkan penamatan konflik bersenjata selama 12 hari yang didakwanya dicetuskan oleh Israel, selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata.

Dalam masa sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan 'kemenangan bersejarah' ke atas Iran meskipun laporan risikan Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa serangan udara AS hanya menangguhkan program nuklear Iran selama beberapa bulan sahaja.

Iran dan Israel bersetuju menghentikan serangan pada Selasa, menamatkan hampir dua minggu serangan balas yang mencetuskan ketegangan serantau, selepas Presiden AS, Donald Trump menyertai konflik itu dengan melancarkan bom pemusnah kubu ke atas tapak nuklear Iran pada hujung minggu.

Namun, laporan sulit awal oleh agensi risikan AS menyatakan serangan itu tidak melumpuhkan sepenuhnya program nuklear Iran dan hanya memberikan kelewatan sementara kepada pembangunan teknologi nuklear negara itu.

Statistik impak serangan Israel ke atas Iran dalam tempoh 12 hari.
Statistik impak serangan Israel ke atas Iran dalam tempoh 12 hari.

Trump membidas laporan tersebut dan dalam catatan di Truth Social pada Selasa, beliau mendakwa: "Tapak nuklear di Iran sudah musnah sepenuhnya."

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt mengesahkan laporan tersebut wujud dan mempertahankan tindakan ketenteraan yang diambil sebagai misi yang sempurna.

Dalam ucapan rasmi selepas gencatan diumumkan, Netanyahu berkata, pihaknya telah menggagalkan projek nuklear Iran dan jika mereka cuba membinanya semula mereka akan bertindak dengan ketegasan dan intensiti sama untuk menghalang Teheran.

Artikel Berkaitan:

Israel sebelum ini menyatakan kempen pengeboman yang dilancarkan sejak 13 Jun bertujuan menghalang Teheran memperoleh senjata nuklear iaitu satu dakwaan yang berulang kali dinafikan oleh Iran.

Tentera Israel pula mendakwa serangan mereka telah melambatkan program nuklear Iran selama bertahun-tahun.

Selepas Trump mengecam pelanggaran awal gencatan oleh kedua-dua pihak, Iran mengumumkan komitmen untuk mematuhi perjanjian sekiranya Israel juga menghentikan serangan, manakala Israel menyatakan mereka telah berbuat demikian.

Presiden Pezeshkian menyatakan bahawa Iran bersedia untuk kembali ke meja rundingan berkaitan isu nuklear, namun menegaskan bahawa negaranya tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak sah terhadap penggunaan tenaga atom secara aman.

Sementara itu, media AS memetik laporan Agensi Risikan Pertahanan (DIA) yang menyatakan serangan udara AS tidak memusnahkan sentrifug atau stok uranium Iran, malah hanya menutup akses masuk ke beberapa fasiliti tanpa merobohkan struktur bawah tanah.

Leavitt membalas tuduhan itu dengan menyatakan kebocoran laporan tersebut adalah usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Trump serta memperlekeh kejayaan misi tentera AS.

Pertempuran kali ini dianggap paling dahsyat dalam sejarah konflik Iran–Israel dengan Israel menyasarkan saintis, pegawai kanan tentera serta kawasan kediaman, manakala Iran membalas dengan peluru berpandu ke wilayah Israel dan kemudahan tentera AS.

Perang memuncak apabila AS menyerang tapak nuklear bawah tanah Iran menggunakan bom khas, sebelum Iran membalas dengan melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera AS terbesar di Asia Barat yang tindakan dianggap Trump sebagai lemah.

Sementara itu, rakyat kedua-dua negara kelihatan menyambut gencatan senjata dengan perasaan bercampur-baur, dengan ramai warga Israel menyuarakan keletihan dan mengharapkan kedamaian, manakala penduduk Iran masih sangsi sama ada ketenangan itu akan bertahan.

Gencatan ini turut disambut berhati-hati oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Arab Saudi, Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia, manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran bahawa risiko pengayaan uranium secara rahsia oleh Iran kini semakin meningkat. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!