Lelaki maut tersepit bawah jentera penggelek

KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut selepas jentera penggelek yang dikendalikannya terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Permatang Rambai, Kampung Paya, Penaga di sini pada petang Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an tersepit di bawah jentera berkenaan.
Menurutnya, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda bergegas ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fazli dan tersepit di bawah jentera penggelek berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
John Sagun berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

