Krisdayanti hadiahkan malam nostalgia penuh cinta di PICC

Krisdayanti beberapa kali turun dari pentas dan mendekati peminat.
Krisdayanti beberapa kali turun dari pentas dan mendekati peminat.
A
A
A

SUARA merdu diva tersohor Indonesia, Krisdayanti nyata berjaya mengubat rindu peminat tanah air dalam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang berlangsung meriah di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Ahad lalu.

Lebih 2,300 penonton memenuhi dewan untuk menyaksikan persembahan penuh emosi itu, yang bukan sekadar meraikan perjalanan seninya selama lebih dua dekad, tetapi turut menjadi simbol kasih, cinta dan kenangan indah antara Krisdayanti serta peminat setianya.

Krisdayanti membuktikan dirinya masih seorang penghibur berbakat besar.
Krisdayanti membuktikan dirinya masih seorang penghibur berbakat besar.

Malah, penyanyi berusia 50 tahun itu beberapa kali turun dari pentas semata-mata untuk menyapa dan beramah mesra dengan peminat, menjadikan suasana malam berkenaan lebih intim dan bermakna.

Persembahan dibuka oleh penyanyi bertenaga Mimi Fly yang tampil dengan lagu Angkat, sebelum menyerahkan pentas kepada sang diva yang dinanti-nantikan.

Siti Nurhaliza antara selebriti yang hadir menyaksikan konsert Krisdayanti Ahad lalu.
Siti Nurhaliza antara selebriti yang hadir menyaksikan konsert Krisdayanti Ahad lalu.

Krisdayanti membuka tirai dengan deretan lagu malar segar miliknya. Namun, suasana terus berubah luar biasa apabila beliau secara spontan menarik tangan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dari tempat duduk VIP untuk naik ke pentas.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua penyanyi legenda dari dua negara serumpun itu kemudian mendendangkan lagu Cindai bersama, membuat seluruh dewan bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Tidak sekadar hadir sebagai tetamu, Siti turut diajak Krisdayanti untuk berduet bersama di atas pentas.
Tidak sekadar hadir sebagai tetamu, Siti turut diajak Krisdayanti untuk berduet bersama di atas pentas.

Tidak cukup dengan satu kejutan, Kris turut menyampaikan lagu Jika Kau Tak Datang bersama Mimi Fly, lagu yang sebelum ini turut dipopularkan bersama Siti.

Momen paling manis turut berlaku apabila Krisdayanti membawa naik anak perempuannya Aurelie Hermansyah, cucu-cucunya Ameena dan Azura, serta Arianna Amora Lemos ke atas pentas untuk menyanyikan lagu Timang-Timang dan Bertubi-Tubi.

Krisdayanti turut mengundang dua anak dan dua cucunya untuk membuat persembahan bersama.
Krisdayanti turut mengundang dua anak dan dua cucunya untuk membuat persembahan bersama.

Kemeriahan diteruskan dengan kemunculan penyanyi lelaki popular, Khai Bahar, yang mendendangkan lagu hitnya Luluh, sebelum berduet dengan Kris menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai.

Khai Bahar memeriahkan lagi konsert dengan mendendangkan lagu hitnya, Luluh.
Khai Bahar memeriahkan lagi konsert dengan mendendangkan lagu hitnya, Luluh.

Menjelang penghujung konsert, suasana semakin hangat apabila penonton mula memenuhi ruang hadapan pentas. Mereka menyanyi dan menari bersama Kris dalam dua lagu penutup, Rembulan dan Penasaran, menjadikan malam tersebut benar-benar berbaloi buat semua yang hadir.

Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti membuktikan bahawa aura dan pesona seorang diva sejati tidak pernah pudar malah semakin menyala dengan cinta dan kenangan yang ditinggalkan di hati peminatnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!