Rangkaian sindiket dadah tumpas

SUNGAl BULOH – Rangkaian pengedaran dadah di daerah ini dan Hulu Selangor berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga lelaki pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun itu diberkas di sekitar Sungai Buloh dan Bukit Beruntung.
Menurut beliau, polis merampas ganja seberat kira-kira satu kilogram, 40.93 gram heroin, 57.56 gram pil yaba, 3.32 gram pil ekstasi, dan 0.82 gram syabu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai antara RM30,000 hingga RM40,000.
“Seorang daripada lelaki itu ditahan di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh dan hasil soal siasat terhadapnya, polis menahan dua lagi lelaki di Bukit Beruntung.
“Modus operandi rangkaian itu ialah membuat pesanan ganja dari negara jiran yang akan dihantar melalui syarikat kurier tempatan sebelum dipasarkan di kawasan Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki itu kini direman antara lima hingga tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat jenayah, khususnya berkaitan dadah, dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
