Tukang masak duda ditemukan meninggal dunia selepas bertengkar dengan tunang

MELAKA - Seorang tukang masak berstatus duda ditemukan meninggal dunia dalam sebuah bilik di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat, di sini, pada petang Isnin.
Difahamkan sebelum insiden itu, mangsa yang berusia 39 tahun telah bertengkar dengan tunangnya, dipercayai kerana cemburu selepas wanita itu mahu memutuskan hubungan pertunangan mereka kira-kira jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, selepas pertengkaran, wanita tersebut masuk ke biliknya sebelum keluar semula pada jam 5 petang dan ternampak mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di bilik utama.
“Tunang si mati terus meminta bantuan jiran sebelum menghubungi pihak polis.
“Pemeriksaan polis di lokasi mendapati si mati berada di atas lantai bilik utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Jelasnya, mangsa yang beralamat di Krubong tinggal di rumah tiga bilik itu bersama tunangnya dan dua lagi abang wanita berkenaan sejak awal Mac lalu.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
