Mahkamah Persekutuan beri kebenaran PKR rayu kes bon jaminan Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah bayaran yang perlu dibuat oleh bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti tersebut.

Permohonan itu, yang dibenarkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, merupakan syarat bagi membolehkan perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 11 Disember 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi pada 23 Jun 2023 membuat keputusan yang memihak kepada PKR dan memerintahkan Zuraida, yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang, membayar RM10 juta kepada parti tersebut selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon itu merupakan satu kontrak yang sah dan mengikat.

Kes itu adalah susulan saman yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti berkenaan, untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikat beliau kepada parti.

Dalam terma dan syarat bon tersebut, antara lain, Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa keadaan selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR, termasuk jika beliau meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa bahawa beliau dipaksa menandatangani bon tersebut dengan PKR untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

Dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini, PKR diwakili oleh peguam Ranjit Singh, William Leong, Navpreet Singh, Sakina Siraj, Chew Chun Man dan Liew Hong Wei, manakala Zuraida diwakili oleh peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Nurul Najwa Zainuddin serta Muhammad Firdaus Shaik Alauddin. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!