MCMC tawar dua biasiswa bantu bina bakat digital negara

MCMC tawar dua biasiswa kepada pelajar cemerlang dan B40 bagi membangunkan bakat muda dalam sektor komunikasi, telekomunikasi, dan keselamatan siber.
MCMC tawar dua biasiswa kepada pelajar cemerlang dan B40 bagi membangunkan bakat muda dalam sektor komunikasi, telekomunikasi, dan keselamatan siber.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua program biasiswa iaitu Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE bagi membentuk bakat masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia yang semakin berkembang pesat di Malaysia.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan kali pertama suruhanjaya tersebut menawarkan biasiswa sebagai satu inisiatif yang mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangunkan barisan bakat berkemahiran tinggi serta memajukan sektor komunikasi dan multimedia negara.

Menurut MCMC, kedua-dua biasiswa berkenaan menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan Internet of Things (IoT).

"Biasiswa ini menunjukkan komitmen MCMC untuk melahirkan bakat muda yang dapat menyokong kemajuan digital negara.

"Melalui peluang berdasarkan merit dan keperluan, MCMC membantu golongan belia berkembang, menyumbang secara bermakna dan membina masa depan dalam bidang komunikasi dan multimedia," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, MCMC menjelaskan, Biasiswa MCMC LEGASI (Leaders of the Next-Generation Scholarship) merupakan biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka, sama ada dalam atau luar negara.

"Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC.

"Penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian.

"Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin sektor ini selepas tamat pengajian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, Biasiswa MCMC CARE pula merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.

"Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga akan mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC," katanya.

Ujar MCMC, permohonan bagi kedua-dua program biasiswa itu dibuka bermula 24 Jun hingga 24 Julai 2025 dan sebarang makluman terkini akan dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi MCMC.

"Penerima biasiswa yang berjaya akan dihubungi pada Ogos 2025.

"Untuk maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan permohonan dalam talian, sila layari: https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-1," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!