Lima kilang terbakar di Simpang Pulai

IPOH – Lima kilang di Jalan Perindustrian 8, Taman Song Choon, Simpang Pulai, di sini musnah dalam satu kebakaran awal pagi Isnin.
Panggilan mengenai kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai pada jam 1.44 pagi, membabitkan kerosakan antara 70 hingga 80 peratus struktur premis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran membabitkan kilang memproses peralatan sembahyang, kilang bahan kimia cat dan kilang memproses teh herba.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai bermula di salah sebuah kilang sebelum merebak ke lot bersebelahan.

“Tiga lot kilang peralatan sembahyang masing-masing mengalami kemusnahan sebanyak 70 peratus, manakala kilang bahan kimia dan kilang teh herba musnah hampir 80 peratus.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, pasukan operasi melaksanakan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan bersumberkan air dari pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.10 pagi dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada bara api tersembunyi yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Operasi pemadaman dilakukan dengan kekuatan 38 anggota bomba dan 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari beberapa balai berhampiran termasuk BBP Pasir Puteh, Ipoh, Gopeng, PBS Pekan Baru dan PBS Menglembu.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!