Dua lelaki miliki 41 rekod jenayah diberkas kes pecah rumah

SERDANG - Dua lelaki tempatan, masing-masing memiliki 41 rekod jenayah ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Bandar Putra Permai, di sini pada 7 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa mendakwa telah meninggalkan kediaman itu dalam keadaan berkunci pada jam 7 pagi.
“Pada keesokan harinya, kira-kira jam 4 petang, pengadu pulang ke rumah dan mendapati pagar telah terbuka dengan mangga pintu diumpil serta jeriji besi dicabut.
“Pengadu kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati keadaan berselerak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, pada Isnin.
Muhamad Farid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna putih, wang tunai RM7,000, tiga beg berjenama, dua komputer riba, seutas jam tangan, cermin mata dan barang kemas dianggarkan bernilai RM42,200 telah hilang.
“Bertindak atas maklumat, kita berjaya memberkas dua suspek berusia 38 dan 44 tahun di Klang pada Rabu lalu bagi membantu siasatan.
“Kita turut merampas sebuah kereta milik mangsa, alat walkie talkie, sarung tangan, komputer riba, telefon bimbit serta pelbagai alatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan pecah rumah,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!