Tun M curi perhatian pandu Proton e.MAS 7 pada usia hampir 100 tahun

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencuri perhatian apabila mencuba memandu sendiri model kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Proton, e.MAS 7.
Menerusi hantaran video selama 57 saat yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau pada Ahad, Tun Dr Mahathir dilihat memandu sendiri kenderaan tersebut di sekitar ibu negara.
Menurut beliau, Proton eMAS 7 merupakan EV yang sangat canggih dari segi reka bentuk selain menawarkan perjalanan yang lancar.
“Kereta elektrik Proton yang baharu amat canggih dari segi reka bentuk dan juga perjalanannya sangat ‘smooth’, tak ada masalah.
“Saya berpendapat bahawa Proton e.MAS 7 ialah satu kereta elektrik Proton yang terbaik,” katanya dalam video berkenaan.
Sebelum ini, e.MAS 7 menjadi model EV paling laris terjual sebanyak 3,632 unit dalam tempoh lima bulan.
Sejak mula dihantar kepada pelanggan pada Januari 2025, Proton e.MAS 7 mencatatkan jualan sebanyak 3,399 unit dalam negara dan 233 unit eksport, sekali gus menjadikannya model EV yang paling pantas terjual dalam sejarah automotif tempatan.
Pelancaran rasmi adalah pada 16 Disember 2024 menyusuli pengenalan jenama Proton e.MAS yang diumumkan pada 12 Jun 2024.
Dalam pada itu, tindakan, Tun Dr Mahathir itu mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang memuji keupayaan memandu meskipun bakal mencecah usia 100 tahun pada Julai ini.
Seorang pengguna media sosial berkenaan, Maheshwari Kanniah berkata, Tun Dr Mahathir telah melalui pelbagai zaman dan masih dapat menyesuaikan diri dengan teknologi terkini.
“Wow, beliau yang memulakan Proton dan kini bakal mencecah usia 100 tahun, namun masih mampu memandu kereta elektrik. Beliau telah melalui pelbagai era dan masih mampu menggunakannya,” katanya.
Pengguna lain, Mukhlis Hussain pula menyatakan, Proton adalah hasil jasa Tun Dr Mahathir dan kini berjaya menghasilkan EV sendiri.
Sementara itu, Musliadi Sarabi Jamiri Al-Kissa'ie pula kagum dengan semangat negawaran itu yang masih memandu pada usia hampir satu abad.
“Usia 100 masih memandu? Mantap!,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
