Kebakaran kilang: Situasi masih terkawal, tiada pemindahan penduduk - Bomba

Anggota bomba masih memadamkan kebakaran hingga lewat malam.
Anggota bomba masih memadamkan kebakaran hingga lewat malam.
A
A
A

PASIR GUDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Johor mengesahkan bahawa tiada arahan pengosongan kediaman dikeluarkan kepada penduduk sekitar susulan kebakaran besar yang berlaku di sebuah kilang di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, di sini, pada Sabtu.

Menurut Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba 1 yang juga Ketua Zon 1, Zaipulbahri Mat Rusok, meskipun kebakaran melibatkan kawasan luas dan bahan mudah terbakar seperti minyak enjin dan tong minyak, namun situasi masih terkawal dan tidak memerlukan sebarang pemindahan penduduk.

Ini kerana katanya, kebakaran tersebut dikawal rapi oleh pasukan bomba dari tujuh balai bomba dan penyelamat (BBP) dan tidak menjejaskan kawasan kediaman berdekatan.

"Oleh itu, tiada keperluan untuk mengosongkan rumah-rumah berhampiran. Cuma semalam kita minta bantuan pihak polis untuk mengarahkan penduduk keluar seketika dan bukannya keluar untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

"Kita juga minta orang awam agar tidak mendekati lokasi kebakaran dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing," katanya.

Kebakaran yang bermula sekitar jam 12.54 tengah hari pada Sabtu itu melibatkan kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin seluas kira-kira 700 x 700 kaki persegi, dengan anggaran kemusnahan awal sebanyak 60 peratus.

Selain itu, keadaan angin kuat turut menyebabkan api merebak ke kawasan simpanan minyak terpakai yang tidak lagi beroperasi.

Pasukan Hazmat JBPM turut digerakkan ke lokasi untuk membuat bacaan kualiti udara menggunakan peralatan pengesan gas khusus dan asli.

Hasil bacaan menunjukkan terdapat sedikit kandungan sulfur di udara namun tidak membahayakan.

Artikel Berkaitan:

Justeru pemakaian pelitup muka disarankan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketika ini operasi pemadaman masih dijalankan terutama di Divisyen 2 berikutan halangan tong minyak besar yang menyukarkan akses.

Setakat pagi ini, seramai 37 anggota bomba bersama sembilan jentera masih dikerahkan ke lokasi kejadian.

Dalam insiden kebakaran tersebut seorang anggota bomba dilaporkan cedera, namun keadaannya belum dimaklumkan secara rasmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!