Stor simpanan minyak enjin lori terbakar, kepulan asap setinggi 100 meter gemparkan penduduk

JOHOR BAHRU - Penduduk Taman Megah Ria, di sini, gempar apabila sebuah kilang dipercayai dijadikan stor penyimpanan minyak enjin lori di kawasan berkenaan terbakar pada Sabtu.
Kebakaran yang dipercayai bermula sekitar jam 12.30 tengah hari itu turut menghasilkan kepulan asap yang dianggarkan setinggi 100 meter.

Berdasarkan maklumat, penduduk di sekitar kawasan Jalan Kempas 7 yang berada hanya kira-kira 50 meter daripada lokasi kebakaran telah diminta untuk mengosongkan rumah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Selain itu difahamkan, bekalan elektrik ke kawasan perumahan tersebut juga telah ditutup.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan operasi pemadaman masih berlangsung ketika ini.
Difahamkan, kebakaran berkenaan dipercayai tidak melibatkan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
