Nizar bersyukur keputusan DNAA Najib

KUANTAN – Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Muhammad Nizar bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bapanya daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Muhammad Nizar berkata, keputusan itu merupakan satu permulaan yang baik memandangkan kes yang dihadapi bapanya telah berlanjutan sehingga enam tahun.
“Saya bersyukur dengan keputusan ini walaupun dia (Najib) sepatutnya bebas sepenuhnya.
“Kes itu berlarutan ekoran pelbagai penangguhan oleh pihak pendakwa raya, jadi kebenaran telah muncul dan saya amat bersyukur dengan keputusan hari ini,” kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya ini ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat melepaskan tanpa membebaskan Najib daripada tiga pertuduhan tersebut.
Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan berikutan kes berkenaan belum dibicarakan sejak Najib didakwa pada 2019.
Beliau berkata, keputusan itu tidak memprejudiskan pendakwaan yang masih boleh meneruskan kes jika bersedia pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!