Zaleha masih ingat kumpulan Search - Nasir

MESKIPUN tidak pernah berkongsi pentas dan berbeza genre muzik, Allahyarham Zaleha Hamid atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid masih mengingati kumpulan rock legenda, Search.
Pemain bass Search, Nasir Daud, 66, berkata, beliau mengenali Allahyarham sebagai sahabat sealiran dalam dunia seni suara tanah air.
Menurutnya, kehadiran dan sumbangan Allahyarham dalam dunia hiburan, khususnya pada era 1980-an, banyak mewarnai industri muzik tempatan.
“Saya mengenali Zaleha sebagai sahabat dalam bidang muzik. Kami hormati dia sebagai artis lama yang pernah menyerikan dunia seni tanah air.
“Saya menetap di sini dan sering berada di Johor. Beberapa bulan lalu, saya sempat menziarahinya di rumah selepas mendapat tahu dia sedang sakit,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Al-Asma’ul Husna, Bandar Uda Utama di Johor Bahru, pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Zaleha menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pada jam 8.30 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Berita pemergian penyanyi lagu Dangdut Reggae itu disahkan suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60.
Tambah Nasir, ketika kunjungannya ke kediaman Allahyarham sebelum ini, Zaleha masih mengenalinya dan turut bertanya khabar mengenai rakan seangkatan lain.
Pada masa sama, beliau turut meluahkan rasa sedih atas pemergian arwah dan menyampaikan ucapan takziah bagi pihak keluarga serta kumpulan Search.
“Zaleha bertanyakan saya, Tok Amy (Amy Search) di mana? Beliau juga menyebut nama Hillary (Search). Itu menunjukkan dia masih ingat kami.
“Saya mengenali beliau sejak awal kemunculannya dalam persada seni. Zaleha seorang penyanyi yang bagus dengan gaya tersendiri, cuma kami jarang berjumpa kerana genre berbeza.
“Saya, mewakili keluarga dan juga keluarga Search, merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!