Spekulasi calon KPN: "Saya akan tanya Agong dulu" - PM

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas mengenai nama calon Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu yang dikatakan telah dihantar ke Istana Negara.
Biarpun timbul desas-desus bahawa beliau akan mempersembahkan nama calon bagi jawatan KPN kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis, Anwar hanya memberikan jawapan ringkas.
“Siapa beritahu? Istana Negara ke? Nanti saya tanya Yang di-Pertuan Agong dulu,” katanya kepada media selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di Medini, pada petang Khamis.
Sebelum itu, sebuah media melaporkan bahawa pertemuan antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dijangka berlangsung pada petang Khamis, bagi memuktamadkan calon yang bakal menggantikan Tan Sri Razarudin Husain, yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 22 Jun ini selepas dua tahun menerajui pasukan keselamatan negara.
Difahamkan, tiga nama disebut-sebut sebagai calon iaitu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, 59; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim, 60; serta Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

