Ramalan Tun M cetus pelbagai reaksi

No Image Caption
A
A
A

EPISOD kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu pastinya memberi tamparan besar kepada kepimpinan pakatan itu.

Kisah penubuhan kerajaan Perikatan Nasional terdiri gabungan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac lalu, seakan-akan satu kisah dongeng sukar dipercayai rakyat dan masyarakat dunia.

Bertindak daripada kejatuhan kerajaan PH, pemimpin-pemimpin pakatan itu terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mula mempertikaikan sokongan majoriti ahli Parlimen diperoleh Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri susulan keputusan dibuat atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin PH mempertikaikan bilangan itu dengan mendakwa mereka sebenarnya yang mempunyai sokongan majoriti 114 ahli Parlimen bagi membentuk kembali kerajaan pakatan itu.

Namun, semalam Dr Mahathir yang kembali menjadi figura penting PH setelah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh, mendedahkan satu ramalan yang sudah pasti mengejutkan kepimpinan pakatan itu.

Pada saat PH berkeyakinan Dr Mahathir akan terus mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk kembali menjadi Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat kembali bersidang, Ahli Parlimen Langkawi itu pula meramalkan kerajaan dipimpin Muhyiddin akan terus kekal mentadbir sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Melalui satu temu ramah eksklusif bersama Sinar Harian, Dr Mahathir memberi alasan Muhyiddin kini dipercayai akan memberi 'gula-gula' kepada ramai Ahli Parlimen termasuk yang pernah menyokongnya bagi tujuan mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional.

Susulan kenyataan sensasi Dr Mahathir itu, Muhyiddin serta beberapa pemimpin berpengaruh PH memberikan reaksi dan pandangan berbeza terhadap masa hadapan kerajaan Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapan sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet semalam, Muhyiddin tanpa berselindung mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Mahathir di atas 'ramalan' dikemukakan beliau.

Bahkan, Muhyiddin memohon Dr Mahathir mengiktiraf pembentukan kerajaan Perikatan Nasional kerana menjelaskan ia adalah sah dari aspek Perlembagaan Persekutuan.

Tidak keterlaluan penulis berpendapat Muhyiddin masih tidak putus harapan melihat Dr Mahathir akan terbuka hati menyertai kerajaan baharu itu berdasarkan pendedahan isi kandungan surat dikirimkan kepada negarawan berusia 94 tahun itu.

Seorang pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Nasional dari Perak berkata, komen Dr Mahathir berkaitan masa hadapan kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya boleh dianggap sebagai positif meskipun alasan diberikan beliau bersifat sarkastik.

"Sekiranya diperhatikan lebih mendalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berterusan diserang hebat Dr Mahathir sehingga kini meskipun kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan 22 bulan lalu.

"Namun, Dr Mahathir dilihat lebih berlembut kepada Muhyiddin walaupun pada awalnya menuduh Perdana Menteri itu sebagai pengkhianat.

"Ini menunjukkan secara tersirat kerajaan Perikatan Nasional direstui Dr Mahathir meskipun tidak dinyatakan secara umum," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui 'ramalan' Dr Mahathir mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya Muhyiddin meneruskan perbuatan 'membeli' ahli-ahli Parlimen bagi meraih sokongan.

Bagaimanapun, Salahuddin menegaskan parti itu bersama PH masih tidak berputus asa dan akan tetap membawa usul menentukan keyakinan (vote of confidence) terhadap Muhyiddin sebaik sahaja Dewan Rakyat kembali berlangsung.

"Kalau mereka (Perikatan Nasional) berterusan memberikan kedudukan kepada ahli Parlimen dalam kerajaan, memang angka itu akan terus berkurangan dan PH harus tunggu untuk menghukum kerajaan mencabuli demokrasi ini pada PRU15.

"Namun, sekiranya ada sedikit pun peluang untuk kita mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, kita akan tetap meneruskan perancangan itu kerana kerajaan dibentuk sekarang ternyata mencabuli amalan demokrasi negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, Fuziah Salleh menyifatkan 'ramalan' Dr Mahathir sebenarnya tidak mencerminkan situasi sebenar yang berlaku dalam kalangan ahli Parlimen ketika ini.

Bahkan, beliau meluahkan keyakinan bahawa PH sebenarnya hanya memerlukan sokongan dua lagi ahli Parlimen yang berprinsip serta bermaruah untuk kembali membentuk kerajaan sebaik persidangan Dewan Rakyat kembali berlangsung Mei ini.

"Ketika ini, PH sebenarnya sudah memiliki angka sokongan 110 ahli Parlimen berbanding 114 ahli Parlimen dikemukakan sebelum ini susulan empat daripadanya sudah ditawarkan jawatan dalam Kabinet oleh kerajaan Muhyiddin.

"Bagi membentuk kembali kerajaan, PH sebenarnya hanya perlu sokongan dua ahli Parlimen dan kita yakin mampu memperolehinya memandangkan ramai dalam kalangan mereka kini mula tersedar dan tersilap serta bersedia untuk kembali ke pangkal jalan," katanya.

Fuziah turut meluahkan keyakinan sokongan majoriti ahli Parlimen kepada PH ketika ini adalah lebih teguh dan jitu berbanding kerajaan PN yang sebenarnya mempunyai asas pembentukan sangat rapuh.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dan menarik diutarakan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu apabila meminta kerajaan Muhyiddin tidak 'diganggu' pemimpin PH sehingga PRU15.

Ronnie sewaktu dihubungi penulis berpendapat kerajaan Muhyiddin yang didakwanya 'kerajaan pintu belakang' akan gagal dengan sendirinya susulan ia terbentuk atas pakatan yang mempunyai kepentingan politik berbeza-beza.

"Bentuk 'gangguan' itu adalah seperti pemimpin PH mengkritik kerajaan Perikatan Nasional keterlaluan dan terlalu berpolitik membicarakan perkara itu.

"Saya minta PH fokus kepada kerja mengukuhkan dan menjenamakan semula parti. Mengenai usul undi penentuan kepercayaan kepada Muhyiddin, saya enggan ulas...Tumpukan parti lebih baik," katanya.

Ronnie turut mendedahkan PH kini berdepan dilema dalam menentukan sama ada Dr Mahathir masih layak untuk memimpin pakatan itu atau tidak.

"Sekarang ada 'two school of thought'. Ada yang suka teruskan dengan Dr Mahathir dan ada yang tidak.

"Saya fikir pemimpin-pemimpin dalam PH mungkin boleh berbincang terlebih dahulu untuk mengelakkan perpecahan dalaman," katanya.

Dari sudut berbeza, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui hantaran di laman Facebooknya berterusan menyindir Dr Mahathir yang menganggap konspirasi keruntuhan kerajaan PH dua minggu lalu adalah berpunca darinya.

Pengakuan Dr Mahathir itu juga adalah menerusi temu ramah eksklusif bersama Sinar Harian yang diadakan di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya kelmarin.

"Saya main FB pun boleh jatuhkan satu kerajaan ke? Bahaya juga. Lain kali saya main PS4 sudah," sindir Najib dalam laman Facebooknya.

Hantaran Najib itu bukan sahaja mendapat sukaan lebih 70,000 pengikutnya, bahkan menerima lebih 10,000 komen warganet.

Bagi penulis, 'serangan' berterusan Dr Mahathir terhadap Ahli Parlimen Pekan itu membuktikan Najib kini dianggap ancaman besar kepada tokoh politik negara itu untuk menyahstabilkan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

Walau apapun alasan dikemukakan mana-mana parti politik, sudah tiba semua pihak berhenti daripada terus berpolitik sebaliknya memainkan peranan masing-masing dalam mendepani dua cabaran besar dihadapi negara kini - masalah kemelesetan ekonomi serta wabak koronavirus (Covid-19).

Mereka harus ingat akhirnya rakyat akan menghakimi pencapaian mereka menerusi tahap perkhidmatan diberikan, bukan janji-janji politik yang akhirnya menyebabkan rakyat semakin muak dan menyampah.