PM sifatkan JS-SEZ unik dan luar biasa

Anwar ketika berucap pada majlis penutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox, di sini, pada Khamis.
Anwar ketika berucap pada majlis penutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox, di sini, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan sekadar zon ekonomi biasa, sebaliknya satu kerjasama luar biasa yang bakal menjadi tanda aras baharu dalam hubungan ekonomi dua hala.

Menurut beliau, JS-SEZ merupakan satu projek rentas sempadan yang dibangunkan berdasarkan kepercayaan dan semangat pasukan antara Malaysia dan Singapura, sekali gus menarik perhatian pelabur antarabangsa.

“Ini bukan SEZ biasa. JS-SEZ sudah menarik minat pelabur dari Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah serta dilihat sebagai dinamo pelaburan global baharu.

"Namakan satu lagi zon ekonomi yang melibatkan dua negara, dibina sepenuhnya atas semangat kerjasama pasukan yang hebat. Ini yang menjadikan JS-SEZ unik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han; serta Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kemajuan JS-SEZ didukung oleh dasar yang jelas, kestabilan politik serta sokongan padu institusi di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurutnya, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang baru ditubuhkan turut memainkan peranan penting dalam mempercepatkan prosedur kelulusan pelaburan.

“Setiap mesyuarat membawa permintaan baharu. Jika pelabur gagal mendapatkan kelulusan di peringkat negeri, mereka datang kepada kami dan kita bantu. Bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi demi manfaat negara secara keseluruhan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Anwar turut mengiktiraf peranan Iskandar Investment Bhd (IIB), Khazanah Nasional dan Kerajaan Negeri Johor dalam menjayakan projek JS-SEZ.

“Dasar yang baik sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan komitmen penuh daripada birokrat dan eksekutif yang berkelayakan untuk menjayakan usaha besar ini,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!