Mahkamah Persekutuan benar rayuan SIS Forum cabar fatwa kumpulan hak asasi wanita itu sesat

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkannya sesat.
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkannya sesat.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, berhubung pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa terhadap pertubuhan dan institusi.

Dalam keputusan majoriti 3-1, beliau menjelaskan bahawa fatwa tersebut hanya terpakai kepada individu yang menganut agama Islam dan bukan kepada entiti seperti syarikat atau pertubuhan.

“Tafsiran peruntukan Perlembagaan ini adalah seiring dengan kedudukan bahawa hanya manusia sebenar boleh melafazkan kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji.

“Sebuah syarikat, sebagai ‘orang buatan’ atau entiti ciptaan, tidak mempunyai kapasiti untuk bertaubat seperti yang dicadangkan oleh fatwa tersebut,” katanya.

Keputusan itu dibuat bersama tiga lagi hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, yang bersetuju dengan Tengku Maimun.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais, merupakan satu-satunya hakim yang menolak rayuan SIS Forum bagi membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 31 Julai 2014.

Fatwa tersebut mengisytiharkan bahawa SIS Forum serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

Ia turut mengarahkan agar sebarang terbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural diharamkan serta dirampas, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan untuk menyekat laman sesawang yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan membenarkan SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan fatwa berkenaan.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukan satu keputusan muktamad dan oleh itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman oleh SIS Forum dan Zainah pada 27 Ogos 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!