Lelaki ditahan ceroboh, teroka hutan simpan

Seorang lelaki berusia 59 tahun ditahan dalam Ops Bakau yang dijalankan di kawasan Hutan Simpan Lahad Datu semalam, selepas disyaki menceroboh dan meneroka kawasan terbabit secara haram. Gambar hiasan
Seorang lelaki berusia 59 tahun ditahan dalam Ops Bakau yang dijalankan di kawasan Hutan Simpan Lahad Datu semalam, selepas disyaki menceroboh dan meneroka kawasan terbabit secara haram. Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU – Seorang lelaki berusia 59 tahun ditahan dalam Ops Bakau yang dijalankan di kawasan Hutan Simpan Lahad Datu semalam, selepas disyaki menceroboh dan meneroka kawasan terbabit secara haram.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi bersepadu yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Jabatan Perhutanan Sabah itu berjaya mengesan pencerobohan ke atas kawasan seluas 2.02 hektar.

"Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai aktiviti haram dijalankan di lokasi berkenaan, termasuk penebangan pokok bakau, pembakaran terbuka serta penanaman kelapa sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Sebuah rumah kediaman serta struktur bangunan sarang burung walit turut dikesan dibina tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dzulfikhar berkata, suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Hutan 1968 dan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menegaskan bahawa operasi bersepadu tersebut penting bagi memastikan kawasan hutan simpan, perairan serta pesisir pantai terus terpelihara, sekali gus melindungi ekosistem semula jadi dan menjamin keselamatan perairan negara.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!