Pelajar bunuh ibu, abang kandung mungkin ada masalah mental - Peguam

Peguam yang mewakili calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa membunuh ibu dan abang kandungnya tidak menolak kemungkinan anak guamnya mengalami masalah kesihatan mental.
Peguam yang mewakili calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa membunuh ibu dan abang kandungnya tidak menolak kemungkinan anak guamnya mengalami masalah kesihatan mental.
A
A
A

MELAKA – Peguam yang mewakili calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa membunuh ibu dan abang kandungnya tidak menolak kemungkinan anak guamnya mengalami masalah kesihatan mental.

Peguam Cassian Anthony, bersama dua lagi peguam, Francis Augustine Sosay dan E. Lee Thian, berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada kenalan tertuduh, pelajar tingkatan lima itu dipercayai mempunyai isu berkaitan kesihatan mental.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mental terhadap anak guam kami hanya akan dilakukan sekiranya diperlukan.

“Setakat ini, kami belum mempunyai sebarang laporan perubatan atau rawatan yang dijalaninya kerana maklumat itu baru diperoleh hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Majistret, selepas selesai prosiding tertutup di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani, pada Rabu.

Tambah Cassian, walaupun tiada ahli keluarga atau waris yang hadir ke mahkamah, tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding kerana sedar akan kesalahan yang dilakukan dan hukuman yang bakal dihadapi.

“Keluarga yang melantik kami telah dimaklumkan mengenai pertuduhan terhadap anak guam kami, namun mereka tidak dapat hadir ke mahkamah,” katanya lagi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa pelajar SPM berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh ibu dan abang kandungnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, minggu lalu.

Tertuduh yang hadir berbaju lokap ungu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!