Pelajar UiTM maut ketika perjalanan pulang ke universiti

TAPAH – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 332.1 susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.27 pagi ketika mangsa, Muhammad Aqil Mohd Nazrul Hisham, 21, dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke kampusnya di Seri Iskandar, Perak.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Keeway Cafe yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan kaki oleh Penolong Pegawai Perubatan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Johari memaklumkan bahawa mangsa memiliki lesen memandu yang sah dan tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.
Katanya, punca kemalangan dipercayai akibat kegagalan mengawal kenderaan sendiri, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, pihak polis sedang mengesan saksi kejadian dan akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak konsesi lebuh raya bagi membantu siasatan.
“Kenderaan mangsa juga akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

