Pelajar Tingkatan Lima maut selepas sertai rentas desa

SUNGAI PETANI – [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di sini dilaporkan meninggal dunia selepas rebah sebaik selesai menyertai acara merentas desa pada Khamis.
Mangsa berusia 16 tahun dikatakan telah berjaya menamatkan acara sejauh enam kilometer sebelum rebah dan tidak sedarkan diri selepas melepasi garisan penamat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, acara itu disertai di sekolah bersama pelajar lain.
“Sebaik tiba di garisan penamat di padang sekolah, pelajar terbabit yang dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
“Guru bertugas bersama pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) telah memberikan bantuan pertolongan cemas, namun tiada tindak balas,” katanya.
Menurut beliau, pihak sekolah telah menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan ke HSAH, mangsa dilaporkan meninggal dunia.
“Hasil temu bual pihak kita dengan bapa mangsa mendapati anak mereka itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit serta seorang yang aktif bersukan," katanya.
Beliau berkata, bapa mangsa juga telah memberi kebenaran bertulis membolehkan anaknya menyertai acara sukan berkenaan.
Wan Azharudin berkata, semakan rekod kesihatan mangsa mendapati tidak mempunyai sebarang rekod penyakit dan rawatan hospital.
Setakat ini, katanya, pemeriksaan ke atas mangsa di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

