'Baginda disenangi petugas istana'

Norisman bersama sebilangan warga kerja Istana Besar Seri Menanti.
Norisman bersama sebilangan warga kerja Istana Besar Seri Menanti.
A
A
A

KUALA PILAH - Memulakan perkhidmatannya di Istana Besar Seri Menanti sejak tujuh tahun lalu sebagai Penyelia Istana, membuatkannya begitu menghargai setiap tanggungjawab yang diberikan.

Malahan Norisman Ishak, 44, turut melahirkan rasa gembira apabila dia merupakan antara individu berkhidmat kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan keluarga baginda.

"Antara tugasan saya adalah memastikan kebersihan dan keindahan di setiap penjuru kawasan istana termasuk luar dan dalam bangunan di sini.

"Selain itu, saya perlu melaporkan aduan setiap kerosakan yang berlaku di pekarangan istana pada pentadbiran," katanya.

Katanya, tugasnya bermula Isnin hingga Jumaat, namun ada kalanya memerlukannya berada di istana pada hari minggu urusan pemantauan pada kerja yang dilakukan oleh pekerja kontrak.

"Manakala baginda pernah memuji saya secara spontan dan perkara itu antara detik yang manis sepanjang berkhidmat di sini," katanya.

Baginda bercakap loghat Nogori

Menurutnya, cara baginda melayan dan berkomunikasi membuatkan semua kakitangan istana berasa selesa untuk bekerja.

"Sepertimana di istana, jika terdapat sebarang perkara yang ingin diubah suai atau apa sahaja berkaitan, kita maklumkan baginda dan baginda seorang yang memahami.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun cara baginda bercakap dengan kita di sini menggunakan loghat orang Nogori, maka membuatkan kita lebih selesa.

Seronok apabila kita sebagai rakyat mendengar baginda bercakap, mudah faham," katanya.

Raja yang penyabar

Katanya, menyifatkan baginda sebenarnya seorang raja yang sabar, lemah lembut perwatakannya.

"Selama saya bekerja di sini, saya lihat baginda adalah seorang raja yang baik serta berjiwa rakyat.

"Sesiapa sahaja yang mengenali baginda dengan lebih dekat pasti akan menyenangi sikap baginda yang tenang dan bersahaja," katanya.

Itu antara perwatakan dan sifat Tuanku Muhriz yang diketahui oleh Norisman sejak bekerja di Istana Seri Menanti.

Hari ini genap 71 tahun keputeraan baginda yang mana Norisman turut mengakui baginda seorang raja yang mesra serta mempunyai sifat kepimpinan yang disegani semua.