[VIDEO] Bekas pengarah kewangan PBT direman kes salah guna dana RM50 juta
MELAKA - Bekas pengarah sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana jabatan itu berjumlah RM50 juta.
Sumber berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1 tengah hari pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Menurutnya, suspek dipercayai melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah itu tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan," katanya.
Sumber memaklumkan perbuatan itu disyaki dilakukan dari tahun 2020 hingga 2023.

Suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke pekarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan khas (SPV) kira-kira jam 9 pagi.
Suspek kemudian dibawa meninggalkan mahkamah dengan diiringi pegawai agensi penguatkuasaan itu sejam kemudian.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu media melaporkan, suspek sebagai bekas pengarah kewangan sebuah PBT ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan menggunakan dana PBT itu berjumlah RM50juta untuk membuat pelaburan saham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

