Tunang turut maut dalam nahas lori, kereta di Jalan Kuantan-Seremban

ROMPIN- Tunang kepada pemandu kereta yang maut dalam nahas di simpang empat Melati, Kilometer 147,Jalan Kuantan-Seremban di sini pada Isnin dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah pada malam hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, Norafikaharanap Syafaruddin, 33 yang kritikal disahkan meninggal dunia jam 10.30 malam.
"Berdasarkan laporan awal, mangsa yang beralamat dari Bukit Ubi, Kuantan parah di kepala dan berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12.25 tengah hari pada Isnin itu, pemandu kereta Muhamad Nasri Sulaiman,32, beralamat dari Felda Jenderak Utara, Kuala Krau,Temerloh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal polis mendapati, lori jenis Nissan tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari arah Bahau menghala ke Muadzam Shah.
Ketika tiba di tempat kejadian, semasa sedang bergerak lurus, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba.
Ekoran jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa.
Kemalangan maut itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

