Kongsi gambar kucup dahi, Zulkifli mohon doakan kesihatan Abdul Hadi

Kucupan tanda kasih sayang seorang sahabat buat Abdul Hadi. Foto Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Kucupan tanda kasih sayang seorang sahabat buat Abdul Hadi. Foto Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memohon jasa baik seluruh umat Islam di negara ini untuk mendoakan kelancaran prosedur rawatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, proses rawatan akan dijalankan pada tengah hari Selasa, namun butiran lanjut mengenainya tidak didedahkan.

“Saya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk mendoakan kelancaran prosedur rawatan beliau.

“Semoga ALLAH SWT mempermudahkan urusan rawatan, mengurniakan kesembuhan dan memberi kesihatan berpanjangan kepada beliau,” katanya ringkas pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Marang itu akan menjalani rawatan dan perkara tersebut dimaklumkan oleh anaknya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di media sosial.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk memohon doa daripada seluruh rakyat, khususnya penyokong Pas agar urusan bapanya dipermudahkan.

Untuk rekod, Abdul Hadi pernah menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan kali terakhir dilaporkan menjalani prosedur rawatan berkaitan pada 5 Januari tahun lalu.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!