Hormati keputusan Abdul Hadi tidak berada dalam jemaah menteri

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan semua pihak perlu menghormati keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mahu berada dalam barisan jemaah menteri kerajaan baharu.

Mohd Amar Nik Abdullah berkata, terdapat pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

"Sememangnya sejak awal lagi Abdul Hadi tidak berminat untuk menyandang sebarang jawatan di peringkat Persekutuan.

“Tidak mengapa (tiada jawatan). Berdasarkan pandangan beliau katanya lebih baik berada di luar kerana bebas untuk menegur, melihat dan memantau menteri terutamanya dalam kalangan Pas.

“Kalau mahu mengkritik kerajaan beliau lebih terbuka berbanding berada dalam Kabinet. Jika Abdul Hadi memegang jawatan beliau akan terikat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ada cubaan ambil alih kerajaan guna cara 'tebuk atap', kata Hadi

Beliau ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Pengumuman senarai Jemaah Menteri kerajaan gabungan baharu kali ini melakar sejarah tersendiri apabila menyaksikan pemimpin-pemimpin utama parti tidak diberikan tempat di dalam barisan Kabinet.

Pada pengumuman barisan Kabinet baharu, tiga wakil Pas dilantik sebagai menteri penuh manakala lima lagi pemimpinnya dilantik sebagai timbalan menteri.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai konflik kerajaan Perak, beliau mengharapkan supaya perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

“Di Perak, kita tidak boleh menjangka apa yang berlaku seterusnya dengan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Terserah kepada Istana kerana dengan budi bicara, siapa yang mempunyai sokongan dan mendapat majoriti untuk dilantik sebagai pengganti,” katanya.

Mohd Amar berkata, lebih baik ia dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelak masalah termasuk dalam urusan pentadbiran.