Pelajar Tingkatan Empat hilang dipercayai merajuk selepas dimarahi keluarga

KUANTAN – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Chendor Perdana, di sini, sejak petang Rabu, dipercayai merajuk selepas dimarahi oleh ahli keluarga.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Muhammad Harraz Ruslan Kamal, 16, disedari hilang setelah bapanya pulang ke rumah kira-kira jam 3.30 petang selepas mengambil anak bongsu dari sekolah.
“Pengadu (bapa mangsa) telah mencari mangsa di sekitar kawasan kejiranan serta Pantai Teluk Moknik, Kemaman, namun gagal menemuinya.
“Malah, pengadu turut menghubungi mangsa beberapa kali tetapi tidak dijawab, selain bertanya kepada rakan-rakan anaknya, namun dimaklumkan mangsa tiada bersama mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Cherating pada jam 12.09 tengah malam selepas remaja itu masih belum pulang sehingga lewat malam.
Katanya, Muhammad Harraz merupakan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Kemaman dan kali terakhir dilihat di rumahnya kira-kira jam 3.15 petang Rabu.
“Mangsa dipercayai keluar membawa telefon bimbit, sebuah 'power bank' dan sedikit wang tunai.
“Ketika kejadian, dia memakai seluar trek berwarna hitam dan T-shirt putih,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kehilangan remaja berkenaan berkemungkinan berpunca daripada rasa kecil hati selepas dimarahi ahli keluarga.
“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan termasuk hebahan kepada orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Muhammad Harraz diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

