Dua lelaki pamer aksi ala 'Superman' ditahan

Suspek ditahan selepas menunggang secara berbahaya di SPDH pada Ahad.
Suspek ditahan selepas menunggang secara berbahaya di SPDH pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON – Dua lelaki berusia 18 dan 29 tahun ditahan selepas melakukan aksi berbahaya meniarap di atas motosikal, atau dikenali sebagai aksi ‘Superman’, di Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) pada petang Ahad.

Pekerja kilang dan pembuat papan tanda itu ditahan sekitar jam 6 petang oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson yang kebetulan melalui lebuh raya berkenaan.

Ketika kejadian, anggota polis terbabit sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai tugas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadiri mesyuarat UMNO Bahagian Port Dickson.

Menurut kemas kini BSPT IPD Port Dickson di laman Facebook rasmi, suspek didapati melakukan aksi meniarap di atas motosikal secara berbahaya dari Kilometer 14.1 hingga KM14.8, arah ke Port Dickson.

“Suspek berjaya ditahan bersama motosikal jenis Yamaha LC135 yang digunakan dalam aksi terbabit.

“Kedua-dua mereka bersama motosikal masing-masing telah dibawa ke Balai Trafik IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama tidak kurang dua tahun.

Artikel Berkaitan:

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan jalan raya sebagai medan aksi lagak ngeri yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!