Hospital Pasir Gudang mula operasi fasa pertama bulan depan

JOHOR BAHRU – Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dibina dengan kos melebihi RM380 juta dijangka mula beroperasi secara berfasa bermula bulan depan selepas ia diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, ketika ini pihaknya sedang giat membuat persiapan akhir bagi membuka beberapa jabatan utama di hospital berkenaan.
“HPG sah akan mula beroperasi pada bulan depan secara berfasa. Kita akan mulakan dengan beberapa jabatan tertentu dahulu seperti Unit Kecemasan, Kesihatan Awam dan Pembedahan Am.
“Kita ada 14 klinik pakar di HPG. Mungkin sebahagian klinik pakar tersebut akan dikemudiankan kerana kita perlu mendapatkan doktor pakar atau pasukan yang lengkap sebelum menawarkan perkhidmatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 kepada pihak Kolej Universiti Selatan di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Kolej Universiti Selatan, Datuk Vincent Tan Meng Seng dan Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah merangkap Mejar Cina Negeri Johor, Datuk David Wong Khong Soon.
Untuk rekod, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang bermula secara rasmi sejak tahun 2020 berdepan pelbagai cabaran termasuk ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambah Tian Soon, beberapa jawatan penting seperti Pengarah dan Timbalan Pengarah telah dilantik, selain susun atur jawatan lain sedang giat diselaraskan.
Katanya, bagi memastikan hospital dapat beroperasi secara optimum, lebih 1,800 penjawatan diperlukan merangkumi pelbagai jabatan.
Menurut beliau lagi, HPG memerlukan tempoh sekitar setahun bagi melengkapkan keperluan tenaga kerja dan kemudahan sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
“HPG telah mendapat kelulusan lebih 1,800 penjawatan, namun memang terdapat kekangan untuk mencapai angka itu.
“Oleh itu, kami merancang untuk memohon kepada pihak kementerian agar menghantar jururawat dan doktor bagi berkhidmat di HPG atau memindahkan sebahagiannya daripada fasiliti sedia ada bagi membantu HPG supaya ia boleh beroperasi bulan depan.
“Kita jangka HPG akan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan. Beri masa setahun supaya kami dapat melengkapkan semua penjawatan serta menyediakan doktor pakar dan kelengkapan mesin sebelum beroperasi secara penuh,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!