SST: Rakyat bakal dibebani 'penyakit ekonomi tiga serangkai' - Saifuddin

SHAH ALAM – Seorang ahli Parlimen mempersoalkan pelaksanaan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, dengan mendakwa ia akan membebankan rakyat melalui apa yang disifatkan sebagai ‘penyakit ekonomi tiga serangkai’.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, istilah itu bukan merujuk kepada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, tetapi penderitaan ekonomi yang tidak kurang parahnya.
Menurutnya, rakyat akan 'sakit' dengan kenaikan dan peluasan SST, 'kencing' melalui penyasaran subsidi RON95, dan 'tinggi' bil elektrik yang dijangka menghimpit isi rumah golongan B40 dan M40.
“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – sedarkah bahawa bermula 1 Julai 2025, rakyat akan dibebani oleh ‘penyakit ekonomi tiga serangkai’?
“Inilah realiti yang sedang dan bakal ditanggung rakyat. Jangan terus menambah derita rakyat dengan dasar yang keliru dan tidak berpijak pada realiti.
“Rakyat bukan makmal eksperimen ekonomi. Mereka adalah manusia yang punya keluarga untuk disara, kehidupan untuk dijaga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambah beliau, kebimbangan itu turut berpunca daripada kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah video yang tular baru-baru ini, apabila Anwar didakwa tersilap menjelaskan maksud sebenar sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta SST.
Katanya, Anwar menyebut bahawa GST bermaksud General Service Tax yang mencukai semua perkara, manakala SST pula hanya dikenakan ke atas barangan import – satu kenyataan yang didakwa tidak tepat.
“Hakikatnya, GST ialah Goods and Services Tax, iaitu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan, bukan sekadar ‘general service’ seperti disebut.
“SST pula tidak terhad kepada barangan import sahaja, malah turut dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tempatan tertentu,” jelasnya.
Saifuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap ketepatan kefahaman percukaian negara yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu.
“Jika ketua kerajaan sendiri gagal memahami sistem percukaian yang beliau kendalikan, bagaimana mungkin rakyat boleh meletakkan keyakinan bahawa dasar-dasar fiskal negara berada di landasan yang betul?” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!