Mayat tergantung disahkan lelaki, mati beberapa minggu

TANJUNG MALIM – Mayat reput yang ditemui tergantung di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 2, Trolak di sini disahkan sebagai seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat terbabit mendapati mangsa telah meninggal dunia sekurang-kurangnya beberapa minggu atau bulan lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat berada dalam keadaan separa reput dan mengalami proses mamifikasi iaitu pengeringan semula jadi tubuh manusia.
“Berdasarkan pemeriksaan terhadap mayat yang berada dalam keadaan separa penulangan serta kesan mamifikasi, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki dewasa. Terdapat satu objek menyerupai tali pinggang berwarna biru melilit pada bahagian leher mayat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat reput dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok di ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 2, Trolak.
Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 5.13 petang Ahad.
Kejadian disedari oleh seorang penduduk yang sedang mencari lembu ternakannya sebelum ternampak mayat tersebut tergantung pada dahan pokok kira-kira 10 meter dari jalan utama ladang berkenaan.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!