Penuntut kolej swasta maut langgar besi pembahagi jalan

KLUANG - Seorang penuntut kolej swasta maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 69.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, pada sabtu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.15 petang membabitkan motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang mangsa bernama Mohamad Danish Subaha.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa yang berusia 20 tahun itu dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan lalu terjatuh di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis Kluang menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa semasa berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

