Ahli majlis daerah mengaku tidak bersalah rogol pekerja

Tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen untuk pertuduhan pada Ahad.
Tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen untuk pertuduhan pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang ahli majlis daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Ahad atas pertuduhan merogol pekerjanya pada 29 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Jaya Murugan Abdullah, 47, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun di sebuah kedai dobi di Kuala Krai pada jam 2 petang.

Tertuduh yang juga seorang peniaga, didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, yang mencadangkan RM30,000 sebagai ikat jamin tertuduh bersama beberapa syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Sementara itu, peguambela tertuduh, Ariff Azami Hussein, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada anak guamnya berikutan tugasnya sebagai ketua komuniti India dan sudah 15 tahun dilantik sebagai ahli majlis.

Azami turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh perlu menanggung 12 anak selain merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali dalam tempoh dua bulan.

Hakim turut menetapkan 15 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!