X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP sita barangan tiruan bernilai RM121,401

Ahmad Fitri (tengah) menunjukkan barang tiruan yang dirampas di tiga premis perniagaan di sekitar Kuantan.
A
A

KUANTAN - Sebanyak 3,239 jam tangan, 502 beg dan topi berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM121,401 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di tiga premis perniagaan dalam Ops Jeriji di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, operasi dijalankan di tiga premis di Jalan Mat Kilau, Jalan Putra Square dan di kedai jam di sebuah pasar raya kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, lima individu membabitkan dua wanita tempatan berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan dua warga Pakistan berusia 29 tahun dan 53 tahun ditahan.

"Lima individu ditahan itu adalah pemilik perniagaan dan pekerja.

"Kesemua mereka direman selama empat hari mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 102 (1) (b) Akta Cap Dagangan 2019 manakala barangan seperti jam tangan dan beg akan disita," katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDNHEP Pahang di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan barangan tiruan terbabit diperoleh dari Lembah Klang dan dipercayai diimport dari luar negara.

Katanya, harga seunit jam tangan tiruan terbabit dijual antara RM15 hingga RM70 berbanding harga barangan asli melebihi RM100 ke atas manakala harga beg dan topi tiruan itu pula dijual antara RM15 hingga RM60 seunit.

"Siasatan juga mendapati tiga premis terbabit sudah menjalankan perniagaan antara dua hingga lapan tahun sebelum dikenakan tindakan penguatkuasaan, namun ada juga antara premis yang didapati mencampurkan antara barangan asli dan barangan tiruan berjenama," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!