Enam pusat hiburan digempur, 99 warga asing ditahan

Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas wanita warga asing dalam operasi ke atas pusat hiburan di Jalan Gambut di sini pada awal pagi Ahad.
Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas wanita warga asing dalam operasi ke atas pusat hiburan di Jalan Gambut di sini pada awal pagi Ahad.
A
A
A

KUANTAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang mengempur enam pusat hiburan di sini dan menahan 85 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) pada awal pagi Ahad.

Dalam operasi serentak kira-kira jam 1 pagi ke atas pusat hiburan di Jalan Gambut di sini, 14 pekerja lelaki warga asing turut ditahan.

Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Ihsan berkata, daripada 99 warga asing yang ditahan, 81 merupakan warga Thailand, Bangladesh (12), Laos (4), Yaman (1) dan China (1).

“Dalam operasi Ops Gegar yang dibantu JIM Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan ini, seramai 369 individu telah diperiksa.

“Kesemua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka,” katanya.

Imigresen akan memanggil enam pemilik dan penyelia pusat hiburan terbabit untuk siasatan lanjut
Imigresen akan memanggil enam pemilik dan penyelia pusat hiburan terbabit untuk siasatan lanjut

Nursafariza berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalah guna permit kerja.

“Sebahagian besar mereka merupakan pemegang permit kerja dalam sektor binaan dan pembersihan, namun bekerja sebagai GRO dan pelayan di pusat hiburan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil enam pemilik dan penyelia pusat hiburan terbabit untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Kami dapati ada pemilik pusat-pusat hiburan yang tidak pernah serik dengan tindakan yang diambil ke atas mereka dalam operasi sebelum ini apabila terus melakukan kesalahan sama.

“Bilangan warga asing yang ditahan dalam operasi di pusat hiburan kali ini agak ramai, seolah-olah pengusahanya tidak takut berdepan tindakan,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!